Politik

PAS yakin ke Putrajaya

Hazayani Zakaria


PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang optimis PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya suatu hari nanti.
Beliau sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di muktama PAS kali ke-56, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini berkata, tidak mustahil suatu hari nanti Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara melihat kepada sokongan yang biberikan oleh rakyat termasuk orang bukan Islam terhadap PR.
"Ke Putrajaya InsyaAllah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kta bermimpi yang soleh," katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Beliau juga berkata, sekiranya syariat Islam benar-benar diamalkan di negara ini, segala permasalahan sosial yang melanda negara dapat diselesaikan.
"Jika benar-benar kita mengamalkan syariat Allah, insyaAllah segala permasalan sosial dan moral dapat diseesaikan," katanya.
Beliau berkata, PAS berada dalam bahtera yang selamat bersama rakan-rakan Pakatan yang lain.
"Yakinlah, kita sekarang ini berada dalam bahtera yang selamat. Teruslah besama Pakatan rakyat untuk ke Putrajaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji mutu perbahasan seluruh perwakilan yang disifatkan sebagai matang dan menepati isu.
"Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan yang menyampaikan perbahasan yang mutunya semakin meningkat," katanya.

Jaga sensitiviti ahli bukan Islam
Harakahdaily

KOTA BHARU, 13 Jun: Semua pemimpin dan ahli PAS diminta menjaga sensitiviti ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) selepas mereka diterima sebagai sahabat dalam PAS.
Antara isu yang sensitif adalah makanan apabila mereka menjemput ahli DHPP ini menyertai kenduri yang dianjurkan.
"Kalau kita amat sensitif dengan khinzir, mereka dari kaum India yang beragama Hindu pula sensitif dengan daging lembu.
"Jadi kalau kita nak buat kenduri dan mengajak mereka datang, kita kena sesuaikan menu kita misalnya dari daging lembu kita ubah kepada kambing, ayam dan ikan," kata Dr Mariah Mahmud, AJK PAS Pusat yang juga anggota parlimen Kota Raja.
Dalam ucapan yang sama, Dr Mariah juga telah meminta ahli PAS khasnya kaum muslimin menjaga sensitiviti kaum wanita kerana PAS kini adalah parti yang bercita-cita mahu ke Putrajaya.
"Misalnya apabila kita suka sangat membuat lawak dengan isu poligami. Kita kena ingat, kebanyakan wanita di luar sana sangat sensitif dengan isu ini akibat dari banyaknya pengalaman negatif hasil dari poligami ini," kata Mariah.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan cara Pengerusi Tetap, Abu Kassim Abdullah yang suka sangat membuat lawak dalam isu ini dalam keadaan tidak sedar ia menghiris perasaan sesetengah wanita.
Mariah juga membantah cara sebahagian masyarakat yang suka menyalahkan wanita sahaja seolah-olah lelaki tidak salah misalnya dalam isu wanita mengandung tanpa suami.
"Misalnya apabila wanita mengandung atau hilang dara, siapakah yang menyebatkan wanita ini mengandung dan hilang dara?" soal Mariah.
Di samping itu, Mariah juga meminta ahli dan penyokong PAS agar juga menjaga kebersihan dalam amalan seharian mereka.
Konsep jumpa sampah ambil dan bawa balik dan buang ke tong sampah ini perlu dijadikan amalan, kata beliau.
"Semalam kami ke sebuah masjid untuk sembahyang. Kami tak lalu nak masuk tandas masjid itu kerana terlalu kotor dan terus ambil air sembahyang dan solat sahaja," kata Mariah memberikan contoh budaya pengotor di kalangan umat Islam yang sangat tidak kena dengan ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment